Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menjalin kerjasama dengan jenama pakaian denim jalanan tempatan, Tarik Jeans dalam usaha mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai Malayan Tapir yang kini diancam kepupusan.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi pelancaran kapsul koleksi “Modern Nostalgia” yang eksklusif. Koleksi tersebut dilancarkan pada 21 Februari lalu dan para peminat sudah boleh mendapatkannya.

Barangan daripada koleksi “Modern Nostalgia” boleh didapati di laman web Volkswagen dan Tarik Jeans, Shopee, Zalora dan di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Sebanyak 50 peratus daripada jualan kempen ini akan disalurkan ke Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan pada Hari Tapir Sedunia, 27 April depan.

Koleksi edisi terhad “Modern Nostalgia” menampilkan elemen-elemen penting kedua-dua jenama tersebut. Model-model ikonik dan moden Volkswagen digabungkan bersama elemen vintaj dan klasik tempatan. Koleksi yang dihasilkan terdiri daripada pelbagai barangan seperti kemeja-T, topi, bandana, beg tote, rantai kunci dan pelekat pakaian.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter nyata teruja kerana dapat berkolaborasi dengan Tarik Jeans untuk inisiatif ini.

“Tunjang utama Volkswagen adalah kelestarian. Kumpulan Volkswagen telah banyak melabur ke dalam usaha ini menerusi lebih 500 projek kelestarian di seluruh dunia. Kami berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan dalam projek yang penuh makna ini. Sudah pasti, kami tidak akan berhenti di sini dan terus mencari jalan untuk menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik.

Tapir Malaya merupakan spesies terancam di sini, selain harimau Malaya, Gajah Borneo dan Orang Utan. Sebagai ‘penjaga hutan hujan’, Tapir memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepelbagaian biologikal habitat.  Ini kerana ia membantu menyebar dan menyuburkan benih yang amat diperlukan untuk pertumbuhan pokok-pokok,” katanya. 

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tarik Jeans, Afiq Iskandar, “Tapir Malaya sentiasa menjadi sebahagian daripada estetika rekaan Tarik. Jadi ia telah ditambah menjadi logo jenama (tambahan kepada logo utama mamak ‘teh tarik’) – kedua-duanya dicipta selari dengan falsafah jenama kami. Bagi meraikan ulang tahun ke-10 Tarik, kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan sebuah jenama automotif yang inovatif seperti Volkswagen,” ujar beliau.

Tapir Malaya merupakan satu-satunya spesies Tapir yang hidup di kepulauan Sumatra, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand serta mempunyai corak badan yang tersendiri. Dianggarkan kini hanya terdapat kurang 3,000 ekor Tapir sahaja yang tinggal.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here