Teks & Foto: Team ST
Terima kasih Pejabat Tourism Bandar Yogyakarta

Berkenalan dengan Yogyakarta atau Jogja, nama timangannnya, biarpun hanya semalam, pasti mengesankan.

Walaupun belum pernah menjejakkan kaki di Jogja, namun sudah melekat satu imej khusus tentang Jogja – Borobodur!

Begitulah Jogja, punyai ikon tersendiri dan tersohor, dikenali semua warga dunia, melekat diingatan walaupun belum pernah bersua. Walaupun hanya semalam di Jogja, jika dapat singgah di Borobudur itu sudah cukup untuk jatuh hati dengan Jogja. Namun yang terbaiknya, untuk mengenali Jogja dengan lebih dekat, eloklah luangkan masa lebih lama di sini.

Semalam hanyalah untuk jatuh hati, bak kata pepatah. Untuk lebih mesra, menikmati dan merasai dengan lebih mendalam bandar yang sarat dengan warisan ini, jangan hanya semalam kerana Jogja bukan hanya Borobudur.

Begitulah. Setelah 4 hari 3 malam kami di Jogja, ada 4 perkara yang sentiasa akan menjadi kenangan manis di Jogja.

1. Agungnya Borobudur!

Peninggalan tidak ternilai tamadun Mataram Kuno ini, tersergam megah di Magelang, Jawa Tengah.

Borobudur yang diiktiraf Warisan Budaya Dunia terletak lebih kurang 40 km atau satu jam perjalanan dengan kereta dari pusat bandar Jogja. Menjejakkan kaki di Candi ini merupakan satu pengalaman yang menyentuh perasaan.

Akhirnya dapat berada diperkarangan, menatap dan menyentuh  warisan dunia yang selama ini hanya dapat ditatap gambarnya sahaja.

Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan pengalaman menikmati vista Borobudur dari puncak Bukit Dagi, jauh dari gerombolan manusia yang mengerumuni Candi peninggalan dinasti Syailendra itu. 

Momen yang  istimewa  itu muncul di restoran Puncak Bukit Dagi atau Manohara Dagi.  Menjamu selera dengan kuih mueh tempatan seperti talam dan lemper, santai minum petang menegukdegan atau air kelapa muda ditemani bayangan Borobudur yang sayup-sayup di depan kami.

2. Merewang di Kota Gede !

Kota lama warisan kerajaan Mataram Islam masih ketara tinggalan pusakanya di sini.

Masih jelas deretan bangunan-bangunan lama, tembok, tinggalan keraton/istana, memberi petanda tentang saratnya warisan dan sejarah di kawasan ini.

Mundar mandir di sini mengasyikkan, sambil mengamati satu demi satu gapura atau pintu masuk/gerbang,ukiran ukiran halus di tembok dan di merata-rata tempat.

Tanpa disedari, secara automatik fikiran melayang apabila cuba membayangkan bagaimana agaknya kehidupan penduduk tempatan, warga Jawa di waktu itu.

Di sinilah juga terletaknya makam Raja-Raja Mataram,  tempat bersemadi pengasasnya, Panembahan Senopati dan  juga  Sultan Hanyokrokusomo, bersama putera puteri dan kaum kerabat yang lain.

Terasa aura hening ketika melewati perkarangan Makam Kota Gede ini, mungkin kerana maklum bahawa Raja-Rajanya bersemadi di sini, menimbulkan satu rasa penghormatan.

Atau mungkin juga rasa hormat dan ingatan untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak manis, memandangkan Raja Raja yang gemilang mungkin sedang”memerhatikan” gelagat kita di abad ini. Siapa yang tahu kan?

3.People watching di Pasar Beringharjo!

Terletak di Malioboro, tumpuan utama para pelancong  di Jogja, Pasar Beringharjo  sangat padat. Dengan manusia, dengan segala macam barang dan ragam.

Semua sudut disumbat dengan barang-barang jualan. Batik terutamanya, bertimbun-timbun, sampai terasa batik fatigue. Nak gerak pun susah. Dan itulah tarikannya. Jika terasa nak going local, inilah tempatnya! Kami dimaklumkan ini adalah pasar tradisional yang terbesar dan tertua di Yogyakarta.

Jika nak berbelanja, memang inilah tempatnya. Batik, beg tangan, topi, cenderamata dan bermacam-macam barangan lagi. Memang murah dan boleh tawar menawar untuk lagi murah!

Di sini amat sesuai untuk mengamati kehidupan seharian penduduk tempatan. Setelah puas berbelanja, luangkan sedikit masa untuk santai di bahu jalan sambil memerhatikan andong atau kereta kuda mundar mandir. 

Amati pemandu beca ligat mencari pelanggan sambil berbual dengan penduduk tempatan yang mesra dan peniaga jalanan yang berhempas pulas meneruskan kehidupan seharian. Memang seronok memerhati elemen tradisi seperti andong bercampur-aduk dengan elemen moden di Malioboro.

4. Kemeriahan dan Kemesraan Yogyakarta !

Setiap Oktober Jogja meriah dengan Wayang Jogja Night Carnival. Ketika kami di sini, acara ini diadakan buat kali yang ke-4.

Wayang Jogja kali ini juga meraikan ulang tahun kelahiran kota Jogja yang ke-263, dengan tema pada tahun ini, Wayang Kapi Kapi. Kami dimaklumkan tema ini adalah tentang haiwan dan representasi kehidupan di dunia. Meriah apabila warga Jogja melimpah-ruah disekitar land mark pusat bandar Jogja, iaitu Tugu Pal Putih, di mana karnival itu bermula.

Satu demi satu representasi bermotif haiwan dari 14 kecamatan atau daerah, termasuk monyet, gajah, harimau dan segala jenis binatang melintas lalu dengan aksi-aksi tersendiri.

Selesai karnival, warga Jogja memenuhi ruang jalan, mundar-mandir menghabiskan sisa sisa malam dan keraian Carnival.

Jogja punyai sejarah silam yang gemilang seperti yang sempat dikenali melalui Borobudur, Kota Gede dan lain-lain warisan lagi. Sejarah silam meletakkan nama Jogja di mata dunia.  Namun Jogja bukan hanya Borobudur.

Semalam di Jogja hanyalah untuk jatuh hati, cukup untuk membuat keputusan akan kembali ke kota ini lagi…



Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here