Penginapan Airbnb bersama Bahamas National Trust, sebuah badan NGO yang melindungi 32 Taman Negara di negara tersebut, kini menawarkan kepada lima pengembara peluang sekali seumur hidup – tinggal di Bahamas selama dua bulan secara percuma, sambil bantu membangunkan semula destinasi pelancongan popular yang menjadi agak suram selepas bencana Taufan Dorian.

Program pencarian ini dinamakan “Bahamas Sabbatical.” Mereka yang terpilih akan menetap di Bahamas, sebuah negara yang memiliki 700 buah pulau, 2,400 terumbu karang dengan lautan yang dikatakan antara yang tercantik di dunia bermula 1 April sehingga 31 Mei 2020.

Penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan pemastautin negara-negara berikut; Argentina, Austria, Australia, Belgium, Brazil, Canada, Chile, China, Denmark, Dubai, France, Jerman, Hong Kong, Ireland, India, Itali, Japan, Malaysia, Mexico, Netherlands, New Zealand, Norway, Portugal, Russia, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Taiwan, Thailand, United Kingdom dan Amerika.

Para peserta yang terpilih untuk program ini bakal ditempatkan di tiga buah pulau indah iaitu Adros, Exuma dan Eleuthera di mana mereka akan bekerjasama dengan jurufoto pelancongan, Katie Storr, penyelam profesional Andre Musgrove dan Omar Mcklewhite. Para peserta akan membantu dalam kerja-kerja pemuliharaan terumbu karang, kawalan terhadap hidupan marin dan proses penyebaran pokok-pokok tanaman teh (pertanian).

Pada penghujung program, kesemua peserta diharap dapat berkolaborasi dengan ketua-ketua komuniti tempatan dalam menghasilkan program-program agar pelancong yang datang bakal dapat membuat tempahan secara terus dengan wakil komuniti di sini. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi setempat yang sememangnya bergantung dengan pelancongan.

“Ketika Bahamas kembali bangkit daripada becana, kami merasakan kerjasama bersama Bahamas National Trust merupakan sesuatu yang istimewa dalam usaha menaikkan semula ekonomi daripada aspek pelancongan di sini,” ujar Naib Presiden Kanan Komunikasi & Polisi Global Airbnb, Chris Lehane.

Jika kamu ingin mencuba, layari laman sesawang www.airbnb.cm/sabbatical dan isi borang yang disediakan. Tarikh tutup penyertaan pada 18 Februari 2020 (Selasa), jam 11:59 malam. Mereka yang memohon mestilah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here