• Pada 2018, kehadiran pelancong ke Jepun meningkat 8.7% (32 juta) berbanding tahun sebelumnya.
  • Data daripada Japan Tourism Agency (JTA) menunjukkan meskipun semakin ramai pelancong datang ke Jepun, perbelanjaan per kapita menurun pada 2018 berbanding 2017.
  • Penduduk tempatan dan peniaga terutamanya di Kyoto gusar dengan kebanjiran mendadak pelancong di bandar yang dikatakan “tidak direka sebagai tarikan pelancongan” itu.

Peningkatan kehadiran pelancong merupakan antara agenda utama kerajaan Jepun pimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Namun, pada masa sama, negara matahari terbit itu tidak mahu budaya, adat dan urusan rutin masyarakat negara itu terganggu akibat kebanjiran pelancong yang terlalu ramai di lokasi-lokasi tertentu di Jepun.

Yuko Kato, 50, suri rumah yang menetap di Kyoto mendakwa dia tidak lagi pergi ke Nishiki Market (pasar klasik berusia 1,300 tahun) yang sebelum ini menjadi rutinnya, akibat terlalu ramai pelancong di situ.

“Kebanyakannya gemar makan sambil berjalan daripada sebuah kedai ke kedai yang lain. Meskipun ada papan tanda “tidak dibenarkan makan sambil berjalan”, mereka tidak mengendahkannya,” kata Yuko.

“Sekarang, terlalu banyak kedai-kedai di Nishiki yang memfokuskan kepada pelancong sahaja dengan menjual teh hijau manis dan takoyaki. ‘Nadi’ Nishiki Market yang terkenal dengan pelbagai jenis ikan, jeruk dan bahan-bahan perasa yang menjadikan pasar ini unik, semakin tenggelam,” tambahnya.

PELANCONG RAMAI TETAPI KURANG MEMBELI

Agak sukar menolak pendapat Yuko kerana kesan hampir sama dapat dilihat di Nishiki Daimaru, pasar ikan berusia 60 tahun yang menempatkan lebih 100 buah kedai di dalamnya.

Pemilik pasar mendakwa 80% daripada pengunjung merupakan pelancong luar negara yang tidak membuat pembelian ketika mengunjungi tempat ini. Akibatnya, dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, hasil jualan semakin menurun.

“Dulu, kedai-kedai di sini dibanjiri pengunjung tempatan untuk mendapatkan bekalan harian mereka. Sekarang, majoriti pelancong yang datang hanya membeli sashimi untuk mengisi perut dan kemudian berlalu pergi. Mereka datang untuk besiar-siar sahaja,” kata Ketua Pengarah Nishiki Daimaru, Katsumi Utsu.

“Disebabkan terlalu ramai pelancong, pengunjung tempatan tidak mahu ke sini lagi,” tambah beliau.


Menurut laporan UNWTO, Jepun negara ke-12 paling ramai dikunjungi pelancong pada 2017.

Kyoto, yang dikenali kuil-kuil dan taman-taman indah merupakan destinasi yang menerima impak kehadiran pelancong paling besar.

Berdasarkan tinjauan, seramai 7.4 juta pelancong luar melawat Kyoto pada 2017 – peningkatan lebih lima kali ganda berbanding lima tahun sebelumnya iaitu pada 2012! Dengan populasi hanya 1.5 juta, Kyoto pernah dibanjiri sejumlah 53.6 juta pelancong pada tahun 2017.

“Kebanyakan mereka tertumpu di kuil-kuil dan tempat bersejarah, menjadikan lokasi-lokasi itu sesak dengan pengunjung sehingga sukar untuk berjalan,” kata Pengarah Urusan Pejabat Tourism Kyoto, Kazuya Fukuhara.

Sementara itu, Datuk Bandar Kyoto, Daisaku Kadokawa menegaskan masalah lambakan pelancong hanya berlaku di kawasan tertentu di Kyoto. Namun, pada masa sama beliau bersetuju yang “Kyoto bukanlah bandar yang direka untuk bersiar-siar atau menjadi taman tema.”

Pengurus syarikat pelancongan InsideJapan Tours berbangsa Amerika, Tyler Palma berkata, “saya agak sedih melihat perkembangan di Kyoto. Industri pelancongan dilihat seperti tidak mendatangkan banyak kebaikan kepada penduduk tempatan. Mereka mahukan kehadiran pelancong. Tetapi, mestilah pelancong yang berkualiti – yang tahu menghargai adat dan budaya masyarakat setempat,” ujarnya.

Sumber: Nikkei Asian Review

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here