Memandu sendiri adalah pilihan tepat ketika melancong ke Australia dan New Zealand   kerana korang dapat menyaksikan keindahan alam di sepanjang perjalanan.

1. JANGAN WALK-IN, BUAT TEMPAHAN ONLINE LEBIH AWAL
Sebelum tiba ke Australia atau NZ, tempah kenderaan yang anda gunakan secara online. Ini disebabkan majoriti syarikat kereta sewa mengenakan caj jauh lebih murah untuk tempahan online berbanding tempahan walk-in atau saat akhir. Aku pernah hampir dikenakan caj AUD100 (RM290) sehari untuk menyewa kereta di Perth sewaktu walk-in di kaunter syarikat Hertz. Yang bestnya masa di kaunter tu, pekerja Hertz suruh aku masuk internet dan buat tempahan di laman web Hertz saja daripada bayar AUD100. Akhirnya, aku dapat buat tempahan ‘last minute’ secara online dan kami cuma dicaj AUD35 sahaja iaitu kira-kira RM101!

2. PASTIKAN KAD KREDIT /DEBIT ADA BAKI UNTUK PENGESAHAN DEPOSIT  
Pastikan korang bawa kad kredit atau kad debit (macam Maybank) dengan baki sekurang-kurangnya RM500-600 di dalamnya kerana syarikat kereta sewa akan buat pengesahan deposit sebelum proses permohonan. Kalau kad kredit/debit korang tiada baki-korang TIDAK AKAN dapat ambil kereta. Syarikat kereta tak ambil pun duit tu, hanya untuk pengesahan. Ini memang prosedur syarikat-syarikat kereta sewa di Australia dan New Zealand. Jadi, pastikan sebelum berangkat dari Malaysia, sekurang-kurangnya seorang di kalangan kawan-kawan korang yang ikut trip ni ada baki dalam kad kredit atau debit.

Foto yang sempat aku rakamkan ketika berhenti berehat di The Great Ocean Road, Melbourne.

3. PAKAI LESEN ‘BUATAN’ MALAYSIA
Tak payah risau tentang lesen memandu. Lesen yang korang ambil di JPJ tu sah digunakan untuk memandu di Australia dan New Zealand. Cuma di NZ, jika korang berhajat merantau ke sini lebih 12 bulan, korang kena apply lesen memandu New Zealand kerana kerajaan di sini mensyaratkan bukan pemastautin hanya boleh memandu selama 12 bulan sahaja.

4. KERETA ATAU CARAVAN
Tip ini sangat penting kerana ia bakal beri impak kepada bajet keseluruhan korang. Pergi berdua? Pakai kereta saja. Jika lebih daripada tiga orang, aku syorkan pakai Caravan atau Motorhome. Penggunaan Caravan datau Motorhome lebih realistik kalau korang nak jimat duit sewa bilik hotel dan gunakannya untuk tujuan lain. Motorhome di Australia dengan NZ punyai fasiliti lengkap seperti bilik mandi dan tandas berasingan, ruang tamu, dapur memasak dan ruang tidur yang selesa. Korang cuma perlu cari parkir di tempat yang sesuai untuk berehat atau bermalam dan sesetengah ruang parking ini dikenakan caj yang minimal.  Untuk kereta pula, kalau trip dalam kumpulan dua atau tiga orang, pakai kereta kompak saja macam Totoya Yaris. Harga sewanya pun murah. Contohnya di NZ, caj sewa kereta Yaris dalam lingkungan RM300 untuk 5 hari. Kadang-kadang lebih mahal, kadang-kadang lebih murah.

Memandu dari Perth, aku berhenti berehat sebentar sambil tengok biri-biri dalam perjalanan menuju ke Margaret River.

5. AMBIL INSURAN KEMALANGAN
Di Australia aku tak risau sangat, sebab kebanyakan jalan-jalannya lurus dan tidak begitu mencabar. Tetapi di NZ korang kena berhati-hati sebab banyak jalannya berbukit, sempit dan berangin. Kita ni walau macam mana terrer memandu, bila sudah berada di negara orang memang tak boleh nak agak malang tu berbau ke tidak. Itu sebabya bila pekerja kaunter tanya “Nak masukkan insuran kemalangan”? jawab saja “ya” tanpa berfikir panjang. Memang kos akan bertambah sedikit. Tapi apalah nak dibandingkan dengan caj insuran AUD35 dengan caj ganti rugi AUD6,000 jika korang terbabit dalam kemalangan? Jauh bezanya tu. Daripada nak jimat RM100, tak pasal-pasal kena bayar ganti-rugi RM20,000!

6. JANGAN PARKIR SESUKA HATI DI TEPI JALAN UNTUK BERGAMBAR
Buat yang pertama kali memandu di Australia atau NZ, pasti kagum melihat pemandangan di sepanjang pemanduan. Nampak saja benda cantik mesti terus nak berhenti. Itu normal. Lebih-lebih lagi untuk kamu yang kagum dengan landskap seperti dalam filem Lord of The Rings-di NZ memang banyak landskap macam tu. Nasihat aku, ada sesetengah kawasan jalannya sempit jadi kalau teruja nak berhenti ambil gambar pun, jangan berhenti sesuka hati. Cari ruang yang lebih dalam sedikit untuk berhenti, lebih elok di designated areasatau look up point. Aku pernah tengok satu famili yang menyewa kereta berhenti selamba betul-betul tepi lebuhraya dengan pintu penumpang belakang yang tidak ditutup. Sikit lagi nak kena langgar dengan trelar panjang! Kalau teruja sangat pun keselamatan mesti diutamakan.

7.  WAJIB ON GPS
Wajib memandu di Australia dan NZ guna GPS sebab senang nak cari jalan. Sebenarnya, ada dua pilihan untuk kamu. Samada kongsi bersama rakan-rakan bayar duit sewa GPS atau dapatkan pakej data atau portble wifi untuk guna Waze atau Google Maps.

“Penggunaan Caravan atau Motorhome lebih realistik sebab kamu boleh jimat duit sewa bilik hotel.”


8. RUJUK RAMALAN CUACA TERKINI
Terutamanya di NZ, korang kena sentiasa peka dengan ramalan cuaca dan bencana, lebih-lebih lagi ketika ribut musim sejuk di kawasan berbukit. Ada sesetengah laluan berbukit akan mengalami kejadian tanah runtuh apabila ribut berlaku, contohnya di kawasan sekitar South Island iaitu dari Lewis Pass menuju ke Haast Pass. Pernah berlaku kematian akibat ada pemandu yang tak endahkan amaran ribut dan akhirnya mati dihempap rimbunan tanah runtuh. Jadi, berhati-hatilah. Hakikatnya, kalau tak memandu di kawasan berbukit pun tak boleh juga kerana di sinilah pemandangan indah yang dapat korang saksikan. Senang cerita-rancang perjalanan korang mengikut keutamaan hari dan cuaca.  

9. BAWA PENGECAS USB SENDIRI
Duit yang ada gunakan untuk perkara yang lebih baik seperti membeli makanan atau pas masuk ke lokasi dilawati-daripada menghabiskannya untuk aksesori yang anda boleh bawa dari rumah seperti plug socket dan pengecas USB kereta. Pengecas USB kereta di NZ contohnya sangat mahal. Sahabat saya pernah beli harganya mencecah RM100!



10. AMATI PROMOSI HARGA MINYAK
Di kawasan luar bandar di Australia, kerap diadakan promosi harga minyak mengikut hari. Jika biasanya AUD4 untuk seliter pada hari biasa, hari berikutnya akan jatuh AUD3.85 atau 3.7-bergantung kepada promosi stesen minyak tersebut. Ambil peluang untuk isi minyak pada harga terendah kerana untuk pemanduan jauh, lagi banyak anda isi lagi banyak anda jimat duit.

  • Intro Pic: Miles Holden/Tourism New Zealand

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here